Thursday, December 3, 2009

Mengenang Ibu Yang Disayangi

Terlebih dahulu saya sekeluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil-adha kepada kaum keluarga dan semua muslimin dan muslimat. Saya meminta maaf kepada pengikut-pengikut blog ini kerana terlambat memaparkan kisah-kisah yang baru dan terkini, tetapi sejak beberapa bulan ini banyak yang telah berlaku termasuk pemergian ke rahmatullah ibu kami yang tersayang. Di samping itu, saya juga sibok dengan urusan-urusan kerja. Insyaallah saya akan cuba mempertingkatkan usaha untuk menulis.

Amat sukar bagi saya untuk memulakan cebisan ini kerana hati senantiasa sebak untuk mengingat kembali, apatah lagi menulis, mengenai allahyarhamah emak, Hajjah Salbiah Wan. Emak atau kepada cucu-cucunya -“weh” atau “wan” atau “wan cik” - telah kembali ke rahmatullah pada hari Isnin, 17 Ogos 2009, iaitu lima hari sebelum umat Islam memulakan ibadah puasa pada tahun ini.

Allahyarhamah telah dimasukkan ke hospital HUKM kira lima hari (atau seminggu) sebelumnya kerana tidak berapa sihat. Petang hari Isnin itu, saya dan isteri telah berkunjung ke Hospital untuk berjumpa emak sebelum balik ke Seremban. Saya pun ada diberitahu oleh adik saya, Hj. Mohd Dahalan, bahawa emak semakin beransur pulih. Menurut beliau, pada paginya, sebelum beliau bertolak ke Kuala Pilah kerana ada urusan, beliau sempat bebual dengan arwah dan tidak ada yang meragukan tentang kesihatannya.

Kedatangan saya ke hospital pada petang itu rupa-rupanya ialah untuk bertemu dengan emak buat kali yang terakhir. Adik beradik lain belum ada kecuali pembantu emak, Su, yang menunggukan emak di hospital sejak dia masuk. Keadaannya tenat dan susah hendak bernafas walaupun dengan alat bantuan. Kira-kia pukul 2.15 petang keadaanya menjadi kritikal apabila tekanan darahnya terus menurun. Sepasukan doktor telah cuba memulihkan keadaannya tetapi Tuhan lebih menyayanginya. Beliau menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 2.28 petang di katilnya. Pengurusan jenazah allahyarhamah di selenggarakan petang itu juga dan disemadikan di tanah perkuburan Jalan Kuari, Cheras selepas solat Maghrib. Allyarhamah emak meninggalkan 13 orang cucu dan kira-kira 24 orang cicit (setakat ini) dari empat orang anaknya. Sama-samalah kita berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat dan di tempatkan di tempat orang-orang yang soleh dan sentiasa disayangi Allah.

Alfatihah!

Allahyarhamah Hajjah Salbiah dilahirkan di Kampung Talang, Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan kira-kira 88 tahun yang lalu. Menurut Kad Pengenalannya, arwah dilahirkan pada 21 Julai 1924 tetapi menurut arwah semasa hidupnya, arwah sendiri tidak pasti kerana pada zamannya belum ada pendaftaran rasmi. Dan apabila wujud perkhidmatan pendaftaran, tidak ada pihak yang dapat melaporkan tarikh atau tahun yang tepat. Berdasarkan tarikh kelahiran anaknya yang sulung, iaitu abang saya, Hj. Abdul Rahman Ahmad, dan tarikh lahir arwah mengikut Kad Pengenalan, arwah berkahwin dengan arwah abah saya, Ahmad bin Yusof, pada usia kira-kira 12 tahun sedangkan menurut arwah emak semasa hidupnya beliau dikahwinkan semasa usianya kira-kira 15 tahun. Arwah abah mencatitkan tarikh lahirnya pada 17 Julai 1921 yang nampaknya lebih realistik. Usia arwah sebanyak 88 tahun adalah betul sekiranya beliau dilahirkan pada tahun 1921.

Semasa hayatnya allahyarhamah merupakan tunggak generasinya kerana beliau senantiasa dihormati disamping menghormati orang lain, berhemah tinggi, berhati mulia, mesra dan mudah didekati. Kepada anak-anaknya beliau adalah seorang ibu yang senantiasa memahami perasaan tiap-tiap seorang dari mereka disamping sentiasa memberi dorongan kepada mereka untuk mencari kejayaan dalam hidup ini dan di akhirat kelak.

Allahyarhamah selalu dirujuk untuk menyelesaikan masaalah samada di kalangan saudara mara mahupun di kalangan ahli-ahli keluarga. Kalau menyelesaikan sebarang masaalah, beliau sentiasa berhati-hati terhadap perasaan orang-orang yang terlibat dalam masaalah itu, supaya “tepong jangan terserak, rambut jangan putus”. Inilah salah satu filsafah hidupnya yang telah dapat merapatkan perhubungan dengan orang-orang yang mengenalinya. Beliau amat perihatin tentang kesusahan orang lain dan sentiasa bersedia menghulurkan sebarang bantuan samada dari segi moral ataupun kebendaan termasuk wang ringgit setakat mana yang beliau mampu walaupun beliau sendiri kehabisan. Kalau nak cerita tentang kebaikan dan keperihatinan Allahyarhamah emak, saya rasa ruang ini tidak akan muncukupi kerana terlalu banyak dan saya rasa tidak ada cacat cela pada dirinya sebagai “bunda kanduang” yang tulin. Sifat-sifat mulia beliau ini telah menyentuh terlalu ramai orang termasuk saudara mara, ahli-ahli keluarga dan setiap orang yang pernah mengenalinya.

Emak ialah dari suku Mungkal, perut Parit Hilir. Arwah adalah anak perempuan kedua dan anak kelima dari enam adik beradik. Arwah bapanya, Wau bin Abdullah, ialah seorang perintis dan usahawan ternama di kampung saya. Sejak kecilnya arwah emak tidak berpeluang mengikuti pelajaran yang formal kerana pada zamannya budak perempuan tidak digalakkan bersekolah. Hidupnya dicorakkan berlandaskan pelajaran ugama, mengaji al-quran selain dari mempelajari tugas-tugas urusan rumahtangga termasuk kerja-kerja kampung. Beliau berkahwin pada 3 Ogos 1936 ketika berumur 15 tahun dengan saudara sebelah bapanya, Ahmad bin Yusof, seorang guru muda lepasan Maktab Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. Selepas itu, hidupnya berkisar sebagai seorang suri rumahtangga sepenuh masa. Perkahwinan itu telah menghasilkan lima orang anak. Anak yang bongsu, Husain Kamil bin Ahmad meninggal dunia pada 1 Mac 1959 ketika berusia tiga tahun. Adik meninggal kerana demam panas akibat kecacatan pada buah pinggangnya. Arwah pernah terjatuh dari rumah semasa khenduri di rumah kakak saudara saya.

Salasilah keluarga kami -

Pada kami, emak ialah segala-galanya. Dialah tempat mengadu dan tempat untuk mencurahkan apa-apa jua masaalah yang ada dihati kami. Arwah sentiasa mengambil berat tentang kebajikan keluarga kami adik beradik termasuk cucu-cucunya. Kejujuran di dalam segala tingkah lakunya terlalu menyerlah dan amat sukar dicontohi. Beliaulah yang menanamkan semangat integratif di kalangan kami secara menekankan perlunya “berkumpul” dari semasa ke semasa sebagai satu acara keluarga serta perlunya selalu mencari kemuafakatan dalam apa-apa jua masaalah keluarga. Kehadiran kami selalu dituntut dalam hal-hal yang memerlukan tanggungan bersama seperti khenduri kendara dan sebarang “kearalan” di kalangan ahli-ahli keluarga kami. “Dekat cari waris, jauh cari suku” sebagaimana yang digalakkan dalam adat kami adalah satu manifestasi hidup bermasyarakat yang diterajui oleh emak saya .

Semasa di kampung, emaklah yang selalu mengingatkan kami, yang duduk di perantauan, supaya sentiasa selalu “menjenguk” kampung halaman dan melawat saudara mara. Kalau kami tidak dapat balik, beliau sendiri akan datang “menjenguk” kami walaupun dengan bersusah payah menaikki bas dengan kakinya yang sakit. Hanya apabila arwah terlantar kerana uzur dan tidak dapat berjalan lagi (kira-kira lima atau enam tahun yang lalu) amalan ini tidak lagi dilakukkannya. Akan tetapi, walaupun sakit, beliau akan selalu bertanyakan khabar tentang diri kami dan ahli-ahli keluarga yang lain, kadang-kadang meminta kita agar selalu datang untuk “menjenguk” beliau.

Apa jua malang yang menimpa dirinya kerana bemacam-macam penyakit yang menimpa dan akhirnya pemergiannya buat selama-lamanya adalah satu suratan takdir yang tetap kami terima. Itu adalah ketentuan Allah SWT dan tidak dapat kita merubahnya. Sebagai orang yang tinggal, kita sama-samalah mengingati kasih dan sayangnya kepada kita. Sentiasalah kita memanjatkan doa ke atas kesejahteraan rohnya di alam baqa'.

Nasihat saya kepada para pembaca ruangan ini: Ibu ibarat permata dalam hidup...menyinar cahayanya. Kita gilap permata itu dengan penuh kasih sayang demi menunjukkan keikhlasan kita dan betapa bersyukurnya kita punyai seorang ibu...namun...jika permata itu hilang...tanpa kita menjaganya dengan baik...pasti kita akan menyesal seumur hidup..

Tanpa ibu mungkin kita tidak bernama. Tidak mungkin kita ketawa dan menangis. Tanpa ibu tidak mungkin kita mengecapi segala kesenangan dan kejayaan. Berterima kasihlah atas jasa dan pengorbanan ibu yang tidak ternilai. Dalam kehidupan kita sebagai anak, ibu memainkan peranan yang penting. Sebagai anak, syurga terletak dibawah telapak kakinya. Dalam Islam, seseorang anak tidak boleh menderhaka kepada ibunya walaupun dengan berkata 'uhh'. Di sini, kita dapat menilai betapa penting dan mulianya seseorang yang bergelar ibu dalam hidup kita sebagai anak. Amin.