Hussain Kamil dilahirkan pada pukul 9.30 pagi, 6 Mac 1956 bersamaan 23 Rejab 1375 sebagai anak lelaki keempat (bongsu) dalam lima orang adik beradik. Tidak lama selepas kelahirannya, 17 das bedilan meriam bergema dari jauh bagi menandakan bermulanya upacara berelat perkahwinan di raja di Sri Menanti di antara Y.M. Tengku Bahiyah (Almarhumah) dengan Y.M.Tengku Abdul Halim, Raja Muda Kedah (Sultan Kedah sekarang).
Arwah emak, Hajjah Salbiah bt Wan, melahirkan Kamil di rumah seberang Talang Tengah berbidankan Mak Ilir Kacham. Emak mula sakit hendak bersalin sejak malam 5 Mac 1965. Hari tu juga abah mendapat berita tentang kejayaan ambung (abang sulung) Rahman di dalam peperiksaaannya di peringkat Cambridge Oversea’s School Certificate yang diambilnya di Clifford School Kuala Lipis.
Kelahiran Hussain Kamil tidaklah diketahui samada dirancang oleh emak dan abah atau mungkin secara kebetulan sahaja kerana beza umurnya dengan adik saya, Dahalan, ialah hampir tujuh tahun. Biasanya jarak umur di antara kami empat adik beradik yang lain ialah kurang dari lima tahun. Walau bagaimanapun, kelahirannya adalah seperti permata yang ditunggu-tunggu oleh semua pihak, cuma ambung Rahman dan kak Asmah tidak dapat lama mendampinginya kerana mereka tidak selalu balik ke rumah kecuali cuti penggal sekolah. Kenakalannya dan keriangannya adalah pengisi hidup kami sekeluarga di kampung.
Pada 20 Ogos 1956, iaitu sehari sebelum ambung Rahman bertolak untuk mengikuti kursus perguruan di Kirby, Liverpool, England, Kamil tersiram air panas semasa beliau hendak dimandikan. Sebelah badannnya merah dan telah dihantar untuk rawatan di Hospital Kuala Pilah. Doktor mengesyorkan dia duduk di hospital untuk rawatan, tetapi abah merayu untuk membawanya keluar kerana semua ahli keluarga akan ke Kuala Lumpur untuk menghantar ambung Rahman berlepas ke England di Lapangan Terbang Sg. Besi pada keesokan harinya. Kami sekeluarga dan keluarga-keluarga lain yang turut pergi menginap di rumah Pak Uda Md. Diah di Kg. Chubadak, Sentul, Kuala Lumpur. Kamil tidak tenteram dan senantiasa menangis akibat kelecuran kulitnya.
Semasa hayatnya arwah Kamil juga menyaksikan pemergian ke rahmatullah datuk kami, Yusof bin Bok pada pukul 12.45 malam 25 Ogos 1956 kerana sakit sesak nafas.
Satu kemalangan yang tidak disangka-sangka telah berlaku ke atas Kamil ketika dia berusia dua tahun. Hari itu, 26 April 1958, ialah khenduri khatam kaji arwah Harun, anak sulung lelaki abang Wahid dan kak Tomah (Fatomah). Ia diadakan di rumah pesaka keluarga di lereng bukit seberang rumah kami. Masa itu arwah abah demam kerana sakit kaki tetapi dikuatkan juga untuk menyertai khenduri itu.
Kira-kira pukul lima petang ketika orang-orang sepangkal sedang makan, Kamil jatuh dari atas rumah (rumah bertiang yang tingginya kira-kira 7 – 8 kaki) ke atas tanah kepalanya dulu. Seluruh tetamu yang hadir terkejut atas kejadian itu . Kamil tidak menangis kerana dia pengsan lebih kurang 5 minit lamanya. Kepalanya bengkak dan lebam dan malam itu dia tidak dapat tidur melentang, hanya menyiarap sahaja. Dahinya terus membengkak sehingga hampir menutup matanya. Tindakan tidak ada diambil untuk membawanya ke Hospital ketika itu, kecuali berubat kampung sahaja.
Walaubagaimanapun, pada mulanya tidak nampak apa-apa kesan serius oleh sebab kejatuhannya itu kerana Kamil kembali seperti biasa dengan kenakalannya dan keriangannya. Dari bulan ke bulan dia selalu sakit, badannya bersansur kurus dan perutnya makin membuncit dan senantiasa panas. Dia sekadar menerima rawatan di Dispensari Kerajaan dan jampi serapah serta ubat-ubatan kampung sahaja.
Pada 24 Disember 1958 Kamil demam, badannya panas dan tak mahu makan. Dia dihantar ke Hospital untuk rawatan (setakat ubat-ubatan dan suntikan sahaja) berulang selama 3 hari. Keadaan tubuhnya semakin kurus, perut beransur buncit dan keras. Ketika Kamil mengalami penderitaan ini, saya pula sebaliknya menerima berita baik kerana berjaya diterima masuk untuk melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 1 di Malay College Kuala Kangsar. Saya dan dua orang lagi telah berjaya dipilih dari sebelas orang calon dari seluruh Negri Sembilan.
Saya masuk ke Malay College dihantar oleh Abah pada 5 dan 6 Januari 1959. Serentak dengan pemergian saya, ambung Rahman kembali ke Malaysia setelah tamat mengikuti kursusnya di England dan di arahkan mengajar di Pulau Langkawi.
Pada 8 Januari 1959 Kamil dimasukkan ke hospital Kuala Pilah.Sakitnya makin teruk, badan telah kurus berjegilan tulang badan, perut buncit dan keras dan badanya senantiasa panas. Seorang doktor pakar dari Seremban yang datang membuat pemeriksaan secara teliti memberitahu bahawa buah pinggangnya telah membengkak. Besar kemungkinanya ini adalah akibat jatuh dari rumah dahulu.
Kamil dikeluarkan dari hospital oleh abah pada 20 Januari 1959 kerana keadaanya semakin teruk. Kaki, betis dan pahanya menjadi sembap dan pelbagai syor diterima untuk membersihkan buah pinggangnya (ketika itu, saya agak rawatan buah pinggang mungkin belum mencapai tahap yang ada sekarang, seperti rawatan secara dialysis dan berbagai lagi). Beberapa orang alim dan dukun termasuk seorang cina bernama Ah Lon telah cuba mengubatinya tetapi keadaannnya terus membimbangkan. Keadaan perutnya tiap kali selepas rawatan ini ada beransur pulih (mengempis) tetapi tidak terus kekal begitu.
Kekuatannya tidak ada lagi, duduk didudukkan, bangun dan baring sentiasa ditolong. Badannya kurus dan cengkung, hanya tinggal kulit pembalut tulang dan perut yang sentiasa berisi. Suaranya hampir tak keluar lagi. Walaupun beberapa usaha lagi di lakukan oleh pihak kleuarga untuk mengubatinya seperti berkebas, membaca Yasin dan senantiasa memanjatkan doa kepada Allah S.A.T, tetapi pada hari Ahad, bersamaan 1 Mac 1959 atau 21 Shaaban 1378, kira-kira jam menunjukkan 10.10 pagi, Kamil menyambut seruan Allah azza wa jalla . Kamil menghembuskan nafasnya yang terakhir di atas pangkuan abah. Dia telah sakit sejak 7 November 1958 dan telah melalui dugaan yang begitu berat dan tidak terbawa oleh badannya. Abah merasai sangat berat untuk melepaskan beliau pergi kerana sebagai anak yang bongsu dia amat rapat dan kasih kepadanya. Saya tidak menyangkal perhubungan istimewa di antara Kamil dan abah kerana pada suatu petang ketika saya sedang bermain di bawah rumah, saya kelihatan abah merenung keluar dari tingkap biliknya – matanya berlinang air mata. Itulah kali pertama dan sesuatu kalinya saya menyaksikan sendiri abah menangis.
Namun takdir dan kuasa Allah sememangnya tak pernah kita tau. Ajal dan Maut sudah ketentuanNya. Kesedihannya dirasai oleh semua. Saya dan ambung Abd Rahman tidak dapat berita yang menyedihkan itu pada hari tersebut kerana hari itu hari Ahad dan mereka mengalami kesulitan menghantar taligeram. Lantaran kami tidak dapat hadir di hari pengebumian arwah. Hanya kakak Asmah yang sempat balik dari Malay Girl’s College, Kuala Lumpur kerana dia dijemput oleh abang Idris dan Wahid. Ambung ketika itu berada di Langkawai dan saya di Kuala Kangsar.
Arwah Kamil dikebumikan kira-kira pukul 5.00 petang di sebelah kubur Pak Hitam Yunus pada hari yang sama di tanah wakaf yang terletak di atas bukit belakang rumah kami. Menurut abah di dalam catatan diarinya, ada keganjilan yang berlaku ketika jenazah arwah Kamil sedang dimandikan. Kemenyan yang dibakar tidak berbau, limau nipas yang diperah tidak ada bau dan sengitnya, begitu juga kapur barus tidak berbau langsung. Entah apa petandanya ini, wallahu alam.
Saya dan ambung Rahman hanya sampai ke rumah pada pukul 9.00 malam pada 3 Mac 1959, iaitu tiga hari selepas pemergian adik. Taligeram dihantar pada 2 Mac tetapi kerana ambung terpaksa singgah di Kuala Kangsar dahulu untuk menjemput saya, perjalanan kami balik tertangguh sehari. Apabila sampai ke kampung dan setelah dipeluk oleh emak, air mata saya berderai terlalu sedih mengenangkan nasib arwah adik kami yang di sayangi. Di sebalik itu kami tetap reda atas ketentuanNya.
Ya-Allah Ya Tuhan ku yang Maha Adil Maha Penyayang dan Maha Pemurah, Kau tempatkan lah arwah adikku bersama-sama golongan orang yang beriman dan soleh, Kau ampunkan lah segala dosanya. Semoga rohnya dicucuri rahmatMu dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. AL-FATIHAH. Amin.