Friday, April 3, 2009

Rumah Dalam Kenangan


Gambar rumah yang saya gunakan untuk blog ini ialah dari satu foto lama saya yang telah saya warnakan untuk memberi imbasan yang paling hampir dengan rumah lama kami iaitu rumah tempat saya dan juga adik beradik saya dilahirkan, di Kampung Talang Tengah, Tanjung Ipoh, Negri Sembilan. Rumah ini sudah ditinggalkan kerana kami sekeluarga telah berpindah ke Kampung Solok Bacang pada pertengahan tahun 70an, iaitu kira-kira dua kilometer dari tempat ini. (Rumah baru inipun sudah ditinggalkan kerana ahli-ahli keluarga telah menetap di Kuala Lumpur dan Selangor. Emak saya yang kini menjangkau umur 88 tahun telah uzur dan duduk dengan kami di Kuala Lumpur).

Keadaan rumah lama ini tidak lagi menyerupai gambar ini. Yang tinggal hanya kenangan manis kami semasa kami duduk rumah ini. Datuk dan nenek saya (sebelah emak) dan adik saya yang bongsu, meninggal dunia di rumah ini. Emak saya, abang saya, kakak saya dan adik angkat kami, Mariti Jamsiah, dikahwinkan di rumah ini. Banyak lagi kenangan yang tidak dapat saya huraikan secara terperinci, tetapi semuanya adalah pengalaman yang tidak dapat kami lupakan.

Dalam kiraan saya rumah ini sudah berusia lebih dari seratus tahun. Bumbungnya berbentuk Minangakabau dan pada asalnya dibina tanpa menggunakan paku besi. Rumah induk atau rumah besar di perbuat dari kayu dan bertiang sementara dinding juga berasaskan kayu. Semasa ia mula dibina, saya percaya atapnya adalah dari rumbia yang banyak terdapat di sekitar kampung, tetapi kemudiannya ia digantikan dengan atap zinc. Tangga naik ke serambi rumah ini diperbuat dari batu dan jubin berkilat dalam berbagai corak yang menarik. Biliknya hanya sebuah sahaja di mana juga dimuatkan tangga ke loteng di atas bilik tersebut. Serambinya panjang dan bahagian dapur yang dahulunya merupakan sebahagian dari rumah ini yang juga dibina dari kayu lengkap dengan pelantarnya, telah dirobohkan dan digantikan dengan rumah dapur separuh batu di lantai bawah. Rumah dapur ini mengandungi ruang masak, bilik tidur emak dan abah serta ruang makan. Di ruang inilah keluarga menjamu selera dan juga tempat menyambut tetamu yang rapat.

Rumah ini dibina di tepi bukit yang curam dan di belakang rumah di lereng bukit terdapat beberapa kubur yang lama (saya percaya kubur nenek moyang saya). Di sebelah rumah itu terdiri rumah dua tingkat di mana emak menyimpan padi tuaiannya dan barang-barang simpanan selainnya. Rumah ini pernah didudukki oleh orang-orang yang merantau yang memerlukan pekerjaan. Salah seorang daripada mereka ialah abang angkat kami, Hj. Abdul Aziz Raslan (arwah) dari Kampar, Sumatera yang bekahwin di Jelebu dan terus menetap di negara ini. Semasa saya duduk di rumah ini, bekalan letrik belum ada, hanya sekadar lampu pelita atau lampu gas, dan bekalan air minuman serta air untuk dimasak datangnya dari satu perigi yang amat jernih airnya berhampiran dengan dapor kami. Sungai Ulu Muar yang mengalir tidak jauh di hadapan rumah saya ialah tempat kami mandi-manda, membasuh kain di samping menjadi sumber ikan air tawar seperti tilan, masai, keli, ikan putih, dsb.

Hasil tumbuhan di tanah ini yang tidak kami lupakan ialah pokok durian jenis ‘tembaga’ di atas bukit belakang rumah dan pokok ciku besar di hadapan rumah. Durian tembaga itu betul-betul sedap isinya tetapi tidak boleh disimpan lama. Pokok itu kini telah 'mati'. Buah ciku pula ialah dari jenis yang besar (saya percaya ada yang setengah kilo sebiji) tetapi isinya halus dan manis. Buah ciku ini selalu memenangi hadiah pertama di dalam peraduan buah-buah ciku tempatan. di pamiran MAHA yang diadakan di Kuala Lumpu. Sayangnya pokok itu juga 'mati' kerana ditambak tanah (semasa melebarkan halaman rumah) atas busut atau urat-urat pangkalnya.

Kemudahan-kemudahan asas seperti bekalan letrik dan air kini telahpun sampai ke kawasan sekitar rumah saya. Sungai di hadapan rumah saya telah di empang untuk pengairan ke sawah padi dan jalan dari seberang yang dahulunya hanyalah permatang sawah kini sudah diperbesarkan untuk membolehkan kenderaan merentasi kawasan tersebut. Sawah-sawah tidak lagi di tanam padi oleh orang-orang kampung (cuma sekali sekala di pajakkan kepada pengusaha sawah dari luar) kerana tidak ada lagi tenaga muda yang minat bermain lumpur. Sungai dan sawah tidak lagi mengandungi ikan yang pernah saya pancing dahulu seperti puyu dan sepat akibat kegunaan baja berasaskan kimia yang tidak terkawal.

Kebanyakan rumah, seperti rumah saya, serta tanah kampung adalah di dalam keadaan terbiar. Anak-anak tidak lagi berminat duduk di kampung termasuk anak-anak perempuan yang mewarisi harta pusaka (mengikut adat Perpatih) kerana suasana yang lebih menarik di bandar-bandar atau berpindah atas sebab-sebab lain. Apabila orang-orang tua yang duduk di kampung meninggal dunia, maka tinggallah kampung halaman. Jika kampung-kampung yang tinggal ini tidak diusahakan lagi, maka ia akan hanya menjadi kenangan seperti cerita saya ini.

5 comments:

  1. I'm still waiting for the information on the other family members stater from the great great grant parents. I hope you do have all the information with you. My kids is waiting for it to read and to know all about our family. Thanks

    ReplyDelete
  2. salam pakcik. sayo suku mungkal kg senamo tongah ombau. den terjumpo blog ni maso cubo mengetahui berkenaan suku den. den lomah dlm pengetahuan suku dan adat pepatih. kini den di sabah http://www.scubajeffsipadan.com . banyak info dapek den ambik kek blog ini dan harap diperbanyakkan lagi dongan sejarah dari mano asal usul suku mungkal ni. Boleh tak abg buka satu ruang boleh kami meninggalkan alamat dan dimano kami berado. teringin nak kona lobeh ramai suku mungkal ni. nak tanyo..omak den kato den suku mungkal tobek , samo ko tu ?

    ReplyDelete
  3. didalam facebook ado kami tubuhkan Group "Anak Sembilan " mungkin abang berminat untuk meramai dan berkongsi ilmu pengetahuan pakcik kepado kami. http://www.facebook.com/topic.php?topic=10781&post=49626&uid=139784103661#/group.php?gid=139784103661

    acik add den dlm facebook jiko dah ado akaun guna scubajeffsipadan@hotmail.com

    zaidi bin burok
    kg senamo tongah/ palong 5 gemas
    0178614391

    ReplyDelete
  4. Salam, saya dari Mungkal Ampang Tinggi; nenek saya Hajah Eyah(Anak Tunggal),malangnya susurgalurnya sudah hilang,tidak seperti arwah ayah saya suku Mondo punya salasilah yang cukup teratur walaupun dari nenek(Mondo)semua anak lelaki(pupus). Saya sedang mencari kg. asal Mungkal/ka diSumatra Barat - Lima Puluh Kota? Apa pendapat tuan?

    ReplyDelete