Sunday, April 12, 2009

Sehalaman sepermainan, seperigi sepermandian.....

Bersuku berwaris

Jauh pun ada, dekat pun ada

Jika jauh didengar-dengarkan

Jika dekat dipandang-pandangkan

Ruangan ini diwujudkan sekadar meyebarkan berita dan pengetahuan kepada saudara mara, anak-anak, cucu-cucu dan orang ramai yang membaca blog ini amnya. Khususnya ia ditujukan kepada anggota-anggota keluarga dari susur galur saya sendiri, iaitu orang-orang dari suku mungkal (dari perut Kayu Ara dan Kampung Talang, Tanjung Ipoh, Negri Sembilan) iaitu keluarga yang sedarah nisab ibu dan juga termasuk keluarga kedim, saudara sebelah bapa, keluarga semenda dan orang-orang kampung saya yang telah lama merantau dan meninggalkan kampung halaman. Jika mereka sudah berkahwin dengan orang luar (dan tidak lagi hidup cara adat Perpatih) ataupun mereka yang tidak lagi tinggal di Negeri Sembilan, maka besar kemungkinannya anak-anak serta cucu-cucu mereka tidak tahu atau memahami adat yang telah diwarisi oleh nenek moyang mereka. Bahkan mereka sendiri mungkin sudah lupa.

Nama orangmungkal diilhamkan dari suku saya, iaitu suku mungkal, salah satu suku yang ramai anggotanya di Negri Sembilan. Dalam masyarakat adat Perpatih ada dua belas suku – 1. Biduanda/Waris (Dondo/Wareh), 2. Batu Hampar (Tuampar), 3. Paya Kumbuh (Pekumboh), 4. Mungkal (Mungkar), 5. Tiga Nenek (Tigo Nenek), 6. Seri Melenggang (Semelenggang), 7. Seri Lemak (Solomak), 8. Batu Belang (Tobolang), 9. Tanah Datar (Todatar), 10. Tiga Batu (Tigo Batu), 11. Anak Acheh (Acheh) dan 12. Anak Melaka (Nak Molaka). Arwah abah saya ialah dari suku Seri Lemak Pahang (satu pecahan dari suku Seri Lemak).

Perut ialah unit kekeluargaan yang mana anggota-anggota perut berasal dari moyang yang sama. Beberapa perut membentuk suku. Mengikut adatnya, perkahwinan antara anggota- anggota satu suku adalah ditegah kerana talian persaudaraan tersebut.

Anggota-anggota perut dan suku dianggap sedarah kerana berasal dari nenek moyang perempuan yang sama turun menurun di sebelah perempuan. Kedim pula pada umumnya ialah saudara. Saudara-saudara terdekat yang merupakan anggota yang paling berkuasa dalam perut atau yang boleh memberi kata putus dalam sesuatu hal dipanggil kedim dekat atau kedim benar. Selain daripada itu ialah anggota-anggota yang masuk suku melalui upacara kedim atau sesiapa yang merapatkan diri sebagai saudara termasuk jiran-jiran sekampung.

Keluarga semenda ialah keluarga melalui perkahwinan. Di peringkat suku, keluarga semenda ialah semua anggota suku isterinya dan semua isteri/suami mereka. Bila seseorang lelaki dalam adat Perpatih berkahwin, dia terus tinggal di rumah isterinya. Dia menjadi keluarga semenda kepada anggota-anggota suku isterinya dan di kenali sebagai Orang Semenda (orang Mondo). Tanggungjawabaynya dari segi adat ialah untuk menjaga tanah pusaka isterinya. Dia juga perlu bekerja, berusaha dan berbudi kepada keluarga isteri supaya menyukakan hati Orang Tempat Semenda (Pekmondo). Perhubungan di antara Orang Semenda dan Orang Tempat Semenda ada batasan-batasan dan kewajipan-kewajipannya. Biasanya Orang Tempat Semenda mempunyai hak-hak tertentu terhadap Orang Semenda. Orang Semenda yang tinggal dengan isterinya di tanah carian sendiri, adalah dianggap bebas dari tegur sapa Orang Tempat Semenda.

Sistem kekeluargaan melalui suku dan perut ini ialah asas sistem politik adat Perpatih yang dibawa dari Minangkabau. Ikatan inilah yang membentuk muafakat dan nilai yang menghargai hidup bersama. Walaupun nampaknya seolah-olah memecah belah golongan dalam masyarakat ke dalam beberapa segmen, sistem bersuku ini mensyaratkan bahawa kahwin mestilah dengan suku lain melalui sistem semenda menyemenda. Cara tak langsung, ini membantu mengukuhkan sistem adat Perpatih hingga ke zaman sekarang.

5 comments:

  1. wow..sungguh unik adat perpatih ni.vey informative writing.thanks

    ReplyDelete
  2. Assalam
    Sy orang Minang dan mengikut kata arwah nenek sy, sy dari suku Mungkal.
    Nak tahu macamana nak cari susur galur saudara mara ?

    ReplyDelete
  3. Kenapa tak ada cerita asal usul mungkar tua dan mangku kacak

    ReplyDelete
  4. Zaman dulu tak boleh nikah sesuku sebab dlm suku hampir semua anak susuan ibu susu...bab ini adatnya patuh syariah

    ReplyDelete
  5. Assalammu'alaikum wbkth Tuan... Boleh saya dapatkan details untuk mencari susur galur Suku Mungkal yang ada sekarang ni. Terima kasih. 🙏🏻🙏🏻🙏🏻😇😇😇

    ReplyDelete