Wednesday, April 15, 2009

Sedikit Mengenai Diri Saya

Saya dilahirkan di Kampung Talang, Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan kira-kira enam puluh satu tahun yang lalu semasa perang dunia kedua baru reda dan ancaman komunis pula baru bermula di Tanah Melayu. Saya adalah anak ketiga dari lima orang adik beradik, tiga lelaki dan seorang perempuan. Seorang dari adik saya meninggal dunia ketika dia masih kecil kerana penyakit buah pinggang. Sebagai anak ketiga, saya di panggil dengan gelaranalang’. Kini, di kalangan kebanyakan ahli-ahli keluarga saya, gelaran itu telah dinaiktaraf menjadi ‘Tok Lang’ termasuk gelarandatukdari dua orang cucu saya.

Hidup semasa kecil saya berkisar di dalam suasana kampung yang dikiraulupada ketika itu kerana tidak ada kemudahan-kemudahan asas. Nadi kampung saya ialah sungai (Sungai Ulu Muar) yang mengalir berhampiran dengan rumah saya. Airnya tidak berapa dalam tetapi bersih dan tidak begitu tercemar, walaupun bukan untuk diminum. Ia sekadar mencukupi untuk mandi dan membasuh kain, disamping menjadi sumber ikan air tawar. Keluarga minum dari air perigi yang terletak dalam kawasan rumah saya. Suasana malam kami hanya diterangi oleh pelita minyak (kemudian pelita ‘gas’). Kadang-kadang malam kami diisi oleh bunyi letupan bom oleh tentera British jauh di dalam hutan.

Satu-satunya hiburan yang ada di rumah saya, setakat apa yang saya ingat ialah sebuah peti radio yang dikuasakan oleh bateri kereta. Antennanya setinggi galah. Pernah diceritakan bahawa datuk saya (sebelah emak) ialah orang pertama di kampung itu yang pernah membeli peti nanyi (gramophone) dan pada kali pertama ia dimainkan, hampir seluruh orang kampung datang berkumpul di halaman rumah saya untuk melihat dan mendengar ‘keajaiban’ alat itu. Semasa saya kecil, alat itu tidak digunakan lagi, cuma menjadi permainan saya di loteng rumah saya.

Abah saya seorang guru lepasan Sultan Idris Training College (SITC), Tanjung Malim. Dia adalah orang pertama dari kampung saya yang diterima masuk ke Maktab yang ternama itu. Walaupun seorang guru, tetapi untuk menambah sara hidup kami sekeluarga, terutama sekali kerana abang dan kakak saya belajar di sekolah berasrama penuh di Kuala Lumpur dan Kuala Kangsar, abah serta dengan emak bercucuk tanam dan membela ternakan selepas mengajar. Hampir seluruh keperluan makanan harian keluarga adalah hasil titik peluh mereka.

Sebagai anak kampung, aktiviti yang paling saya suka ialah mandi di sungai dengan kawan-kawan bila ada kelapangan (selalunya) dan bermain dengan mereka apa-apa jua permainan yang bermusim pada masa itu, seperti main gasing, memburu burung, memancing ikan, bermainrounders’, bemain meriam buluh pada bulan puasa, bermain rakit apabila air naik di bendang dan berbagai-bagai lagi permainan yang timbul di dalam fikiran kami yang amat kreatif.

Saya bersekolah di sekolah Melayu Kampung Talang setakat darjah satu sahaja, kerana selepas itu saya dimasukkan ke sekolah Inggeris di Tanjung Ipoh sehingga darjah enam. Walaupun tidak terus belajar di sekolah kampung, tetapi saya menghadiri sekolah ugama di sekolah itu pada sebelah petang selama dua tahun. Oleh sebab keputusan peperiksaan darjah enam saya dikira cemerlang, saya terpilih untuk temuduga memasukki Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) mengikut jejak abang saya yang sulung. Saya lulus temuduga yang diadakan di pejabat Setiausaha Kerajaan Negri Sembilan di Seremban dan merupakan salah seorang dari tiga orang yang berjaya dari seluruh Negri Sembilan untuk masuk ke sekolah yang berperistij itu pada tahun tersebut, iaitu tahun 1959.

Semasa di Tingkat Tiga, abah mendapat kenaikan pangkat dan telah ditukarkan menjadi Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Kelang, Selangor. Abah di beri quarters kembar dua di Jalan Raya Barat. Jiran kami juga seorang guru di sekolah abah. Kami sekeluarga amat gembira kerana pertama kali dapat merasai hidup di bandar dengan kemudahan yang serba moden. Abang dan keluarga juga menumpang bersama kerana abang saya bertugas di Kuala Lumpur. Saya hanya dapat bersama mereka semasa cuti sekolah. Adik saya bersekolah di High School Kelang.

Semasa di quarters inilah saya mula berkenalan dengan anak gadis cikgu di sebelah rumah. Jarang-jarang kali dapat bertegur sapa kerana pergerakannya terkawal, cuma apabila Hari Raya ataupun dia datang berziarah ke rumah saya. Kami cuma dapat mengenal budi dan hati masing-masing melalui surat-surat yang dihantar biasanya melalui orang tengah (kakak ipar). Walau bagaimanapun setelah hampir sepuluh tahun berkenalan, kami mendirikan rumah tangga pada tahun 1972. Jamuan dibuat di Dewan MARA, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Masa itu jarang sekali orang membuat khenduri kahwin di dewan. Kami dikurniakan tiga orang anak, dua lelaki dan seorang perempuan. Anak lelaki saya yang kedua meninggal dunia ketika baru lahir. Kami reda menerima takdir Tuhan itu walaupun nyata doktor tidak memberi perhatian yang penuh pada anak saya semasa ia lahir. Kini saya sudah di anugerahkan dengan dua orang cucu comel, hasil perkahwinan anak lelaki saya yang sulung.

Selepas SC/MCE saya memulakan kerjaya saya sebagai Guru Sementara di Sekolah ACS, Seremban. Selepas setahun bekerja sebagai Guru, saya diterima masuk sebagai Penterjemah di Lembaga Letrik Negara, Jalan Gombak dan kemudian di Ibu Pejabat, Jalan Bangsar, Kuala Lumpur. Selepas lima tahun memegang jawatan Penterjemah, saya ditawarkan jawatan Pembantu Kebajikan menjaga sukan dan kebajikan am pekerja-pekerja LLN termasuk rumah rihat, Kelab Kilat dan rancangan pemulihan dadah untuk kakitangan. Saya adalah pengelola tetap misi sukan dan kebudayaan LLN ke Bangkok, Thailand setiap dua tahun sekali dan juga pernah mengelolakan lawatan pasukan sukan Kriket dan Hoki ke London dan Nairobi.

Selepas kira-kira empat belas tahun bekerja dengan LLN, pada tahun 1980, saya menjejak kaki ke sektor swasta di Pernas Charter Management (syarikat yang mengelolakan lombong dan kapal korek bijih timah Malaysia Mining Corporation) dalam bidang urusan kakitangan ataupun sumber manusia. Selepas lima tahun, saya mendapat tawaran bekerja di Bank of America, Kuala Lumpur juga dalam lapangan pengurusan sumber manusia. Semasa saya bekhidmat dengan Bank itu saya berkesempatan menyambung pelajaran hingga ke peringkat ijazah secara sambilan dari RMIT, Australia. Di Bank of America saya mendapat latihan di Bangkok, Manila, Tokyo, Hong Kong dan San Fancisco dan pernah menjawat jawatan Pengarah Sumber Manusia Wilayah untuk kakitangan bank tersebut di Indonesia, Thailand, Singapura dan Malaysia. Saya juga merupakan orang Melayu pertama dalam bank tersebut yang mendapat gelaran Naib Presiden dan kemudian menjadi Pengurus Besar yang pertama bagi Bank of America, Labuan.

Pada tahun 1995, saya mendapat tawaran untuk menjadi Penolong Pengurus Besar sumber manusia di DCB Bank menjaga urusan kakitangan seramai kira-kira 8,000 orang. Apabila RHB memilikki DCB Bank, saya telah dilantik sebagai Pengarah Sumber Manusia Kumpulan RHB dan Ahli Lembaga Pengarah PWTC, Kuala Lumpur. Saya menamatkan perkhidmatan saya secara sukarela pada tahun 1999 apabila Syarikat mengalami kemerosotan akibat gawat ekonomi. untuk mencuba nasib di dalam bidang perundingan. Saya masih menjadi perunding, tetapi secara sambilan. Disamping itu saya juga adalah pensyarah dalam kursus-kursus yang dikelolakan oleh syarikat-syarikat atau pejabat-pejabat Kerajaan.

No comments:

Post a Comment